Sejarah Awal (1993-1994) Kumpulan_Slam

Kumpulan Slam telah ditubuhkan di Johor Bahru, Johor oleh Shah Nizam bin Abdul Halim (Shah), bekas pemain gitar kumpulan Exist (kini Exists) pada tahun 1993. Shah yang berperanan sebagai ketua kumpulan memberitahu kegagalan beliau bersama Exist dan sokongan penuh daripada Allahyarham Rahim Othman, seorang komposer terkenal tanah air serta Johan Aziz, bekas pengurus Exist di Jojo's Production dahulu telah menjadi inspirasi ke arah terbentuknya Slam. Di Johor Bahru, Shah berjaya mengumpulkan 3 orang pemuzik iaitu Abdul Razak Bajuri (Ajak - Gitar), Othman Khalid (Man - Dram) dan Noor Azli Masrani (Lili - Bass) untuk bersama-sama memperjuangkan muzik rock mengikut selera mereka tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Ketika ini mereka menggunakan nama FIX sebagai nama kumpulan. Mereka kemudiannya menjalankan ujibakat bagi mencari penyanyi biarpun ketika itu FIX terlebih dahulu mendapat empat orang penyanyi yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Bagaimanapun jodoh FIX dengan penyanyi-penyanyi tersebut tidak panjang kerana mereka masih mencari keserasian. Mereka mempunyai perancangan yang menarik dalam industri muzik dan kerana itulah, mereka mahukan penyanyi yang sesuai dan mempunyai visi yang baik bagi mendukung wawasan mereka.

Sewaktu proses rakaman album pertama mereka pada 1993 sedang dijalankan, Shah terpaksa mengenepikan vokalisnya gara-gara suara tidak mencapai tahap yang dikehendaki sewaktu mendendangkan lagu Nina ciptaan Rahim Othman. Mereka terpaksa menangguhkan pembikinan album pertama dengan membuka peluang kepada vokalis-vokalis baru yang ingin mencuba nasib dengan Slam. Ujibakat telah diuruskan bersama oleh pihak pengurusan Johan Sound Production (kini dikenali sebagai Johan Music). Atas cadangan Acong Sweet Child, akhirnya mereka ditemukan dengan seorang pemuda yang bernama Zamani Ibrahim yang merupakan anak jati Keramat, Kuala Lumpur. Pada ketika itu, Zamani baru berusia 22 tahun dan bekerja sebagai kerani di salah sebuah bank terkemuka di tempatnya. Keunikan dan kemerduan suaranya jelas memukau pihak pengurusan dan anggota kumpulan yang lain. Namun begitu, beliau sendiri masih berbelah bahagi untuk menjadikan nyanyian sebagai kariernya apatah lagi untuk bergerak dalam satu kumpulan pada ketika itu. Namun akhirnya, beliau memutuskan untuk terus bersama Slam kerana merasakan dirinya sesuai dengan identiti muzik yang ingin dibawa Slam. Zamani yang dianugerahkan bakat semulajadi dan seraut wajah keanak-anakan dijangka akan membuat peminat tidak puas memandangnya.

Zamani juga merupakan seorang penyanyi yang tidak pernah meninggi diri walaupun dia kini tergolong dalam kelompok vokalis terbaik tanah air. Malahan penyanyi itu mempunyai sifat malu yang cukup tebal hingga terpaksa belajar beraksi di atas pentas dengan Shah. Menurutnya, dia banyak belajar tentang bagaimana cara menyanyi dengan penghayatan yang baik dan tinggi. Dia juga cukup menghormati Shah kerana baginya, Shah mempunyai kebolehan luar biasa yang jarang dipunyai oleh sesetengah pemuzik lain. Hal ini berlaku mungkin kerana pengalaman Shah yang cukup luas dalam muzik malah berprinsip tinggi. Kriteria itu juga yang menyebabkan seluruh anggota Slam bersetuju memilihnya sebagai ketua kumpulan walaupun usia Shah lebih muda daripada mereka.

Zamani berjaya menyanyikan semula lagu-lagu yang telah 70% dirakamkan oleh vokalis asal. Setelah berjaya menamatkan proses rakaman yang memakan masa hampir 60 jam, mereka sekali lagi dikejutkan oleh berita buruk dari meja pengurusan apabila nama FIX tidak boleh digunakan kerana ianya boleh menimbulkan kekhilafan dalam sebutan. Pun begitu, profesionalisme yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan Johan Sound Production berjaya menenangkan setiap anggota kumpulan yang tergantung namanya ini. Mereka sekali lagi terpaksa membuka talian kepada penggemar muzik tanah air yang sudi memberi nama kepada kumpulan anak muda yang baru dilahirkan ini. Dari 3,000 penyertaan, Johan Sound Production dan anak-anak muda yang cukup tegar pegangan muzik ini telah memilih Slam sebagai nama baru menggantikan nama asal. Biarpun begitu, mereka sewajarnya boleh berbangga kerana tidak perlu menggunakan pemuzik undangan. Sewaktu di studio, setiap anggota Slam tahu dan faham tugas masing-masing. Selagi tidak berpuas hati dengan muzik ataupun vokal, mereka akan terus bermain tanpa henti. Kadang kala masa dalam studio lebih panjang dari waktu-waktu yang lain.

Namun impian tidak selalunya menjadi kenyataan, Slam terpaksa akur dengan kehendak peminat muzik tempatan. Konsep Pop Kreatif yang diperjuangkan secara berkumpulan merupakan sesuatu yang baru di negara ini. Walaupun album pertama mereka cukup baik dan mempunyai nilai artistik serta nilai jual yang tinggi, namun faktor populariti juga perlu diambil kira. Album pertama mereka sekadar mencecah jualan 40,000 unit sahaja ekoran persaingan dengan kumpulan muzik sedia ada seperti Spring, Mega, Fotograf dan pesaing terapatnya Ukays. Lagu-lagu seperti Malam Dan Semalam, Buat Seorang Kekasih dan Nina masih belum cukup kuat untuk mengangkat martabat muzik Slam. Namun, Slam tidak cepat melatah lantas mereka membuat post-mortem ke atas Slam. Hasil post-mortem tersebut, mereka memutuskan untuk mengundang pemain keyboard terkenal bernama Eddie Ahmad yang merupakan anak jati Kota Tinggi, Johor untuk membantu mereka dalam menghasilkan album studio kedua Slam. Eddie sebelum ini telahpun memulakan kariernya sebagai pemain keyboard kumpulan Ekamatra yang terkenal dengan lagu Sentuhan Kecundang, Pusara Di Lebuhraya dan Hanya Satu Persinggahan. Pemilihan Eddie sebagai pemuzik undangan untuk album kedua Slam ternyata tidak sia-sia kerana pengalaman luas yang dimiliki oleh pemuzik berkaca mata ini telah berjaya memantapkan lagi susunan muzik Slam di samping idea-idea beliau yang tidak pernah jemu untuk diterima oleh anggota-anggota Slam yang lain.

Dalam setiap pembikinan album, Slam tidak terlalu cerewet dalam memilih komposer jemputan apatah lagi mereka sendiri mampu menggubah lagu. Nama-nama seperti Johan Aziz (juga pengurus Slam), Rahim Othman dan Saari Amri tidak pernah lekang dari bibir peminat setia kumpulan ini. Bagi peminat-peminat Slam, nama-nama besar ini telah berjaya mencorak irama muzik Slam dari pelbagai dimensi kerana mereka mempunyai cara, citarasa, identiti dan susunan muzik yang tersendiri.